Home » » Semakin Besar Semakin Cilik

Semakin Besar Semakin Cilik

Written By Siti Rozita Othman on Selasa, 12 Jun 2012 | 1:00 PG


Jika inginkan anak yang petah bercakap dan bijak meluahkan pandangan, rebutlah setiap detik yang terluang untuk anda membina perbendaharaan kata-katanya.
baby
Siapalah yang tidak inginkan anak yang petah berbicara, pandai membawa diri, dan bijak berkomunikasi? Kepetahan bercakap dan kebijaksanaan meluahkan pandangan dan kata-kata adalah satu ciri tokoh berwibawa.
Namun tidak mungkin seorang kanak-kanak petah menggunakan kata-kata kecuali jika diajar sejak kecil lagi. Tahukah anda bahawa kata-kata adalah salah satu SANTAPAN MINDA anak anda? Hakikatnya, remaja dan seterusnya orang dewasa yang sangat petah berbicara dan kuat pengaruhnya ke atas masyarakat ramai yang dididik sejak kecil lagi untuk pandai menggunakan kata-kata sejak kecil lagi.
KATA-KATA SANTAPAN MINDA
Sesetengah ibu bapa mula bercakap dengan anak semasa ia dalam kandungan lagi. Sama ada kaedah ini berkesan ataupun tidak, Wallahua'lam. Yang jelas, setiap patah perkataan yang terpacul dari mulut orang dewasa, tidak kira samada guru, pengasuh atau ibu bapa anak tersebut, akan menjadi ikutannya.
Itulah sebabnya anda perlu berhati-hati dengan setiap patah perkataan yang anda luahkan! Paling ideal, bila anak anda di sisi, tidak kira di rumah atau di dalam kereta, atau di mana sahaja, bercakaplah sebanyak mungkin dengannya supaya mindanya terbuka seluas mungkin dan menyerap kata-kata yang anda sebutkan.
BINA PERBENDAHARAAN KATA ANAK
Jangan sangka anak yang kecil tidak memahami apa yang anda perkatakan. Gunakan setiap detik yang terluang untuk membina perbendaharaan kata anak anda. Umpamanya, jika anak anda sedang berguling-guling di atas katil, anda boleh bercerita satu kisah yang anda mahu dia pelajari.
CONTOH : "Aina, hari ini mak nak cerita tentang kisah sahabat Rasulullah S.A.W. yang bernama Umar al-Khattab dengan anak penjual susu. Umar r.a. pernah mengarahkan supaya penjual susu jangan sekali-kali mencampurkan air dengan susu kerana ini satu penipuan. Aina tahu, suatu hari ada seorang gadis yang sedang mengisi bekas susu. Ibunya berkata, 'Campurlah susu itu dengan air.  Umar tak akan tahu.' Tapi anaknya serta-merta membantah, 'Umar tak akan tahu, tapi Tuhan Umar pasti tahu!' Aina, best kan kalau semua orang macam ini? Beginilah perangai orang yang Allah sayang ..." dan seterusnya. Jangan sangka anak yang baru tahu berguling terlalu kecil untuk didedahkan dengan kata-kata seperti ini.

Atau, anda boleh perkatakan sesuatu tentang persekitaran cuaca di luar.
CONTOH: "Lan, bestnya hari ni! Matahari dah terbit terang-benderang! Warna kuning, merah, dan jingga. Warna merah garang dan bersemangat. Warna kuning macam baju yang Mak nak pakaikan Lan ini. Warna jingga warna kegemaran Mak. Mari mak tunjukkan warna-warna di luar sana!"
Atau anda boleh menyebut tentang sesuatu benda di dalam ruang tamu, mungkin semasa si anak sudah mula bertatih atau berjalan.
CONTOH : "Tengok ni, Man. Ini namanya pembersih vakum. Man nak tahu macamana pembersih vakum ini berfungsi? Mari Ayah tunjukkan." Keluarkan bahagian-bahagian permbersih vakum tersebut, beri anak sentuh/pegang, dan terangkan fungsinya.
BILA ANAK MULA TADIKA
Satu kesilapan ibu bapa ialah, sebaik sahaja anak memulakan zaman persekolahan, contohnya masuk prasekolah, terlalu banyak perhatian yang diberikan kepada kerja rumah dan hal persekolahan. Yang ditanya hanyalah samada kerja sekolah sudah disiapkan, tulisan makin cantik atau pun tidak, atau si anak sudah boleh menulis atau membaca atau mengira.  Ini mencetekkan perkembangan minda anak-anak. Jauh lebih baik jika interaksi dengan anak anda diisi dengan perbualan yang lebih bermakna.
CONTOH :
(waktu dalam perjalanan balik dari sekolah). "Wah, Jun nampak tak trailer 12-tayar tu? Macamana lah agaknya orang boleh cipta trailer macam tu ya?"
CONTOH :
"Zul, pokok besar di tepi jalan tu, agaknya berapa umurnya ya? Kenapa agaknya daunnya kecil?"
Pendekata, BERCAKAP, BERCAKAP, DAN BERCAKAPLAH dengan anak anda semasa dia masih kecil, tidak kira berapa muda usianya dan tidak kira di mana anda berada. Rebutlah setiap saat anda bersama dengannya kerana masa yang berlalu tidak mungkin berulang lagi dan peluang yang sudah pergi mungkin tidak akan muncul kembali.
INGATLAH WAHAI IBU BAPA
Kasih sayang tidak memadai
Doa tidak mencukupi
Ilmu keibu-bapaan tidak datang dengan sendiri
Timbalah ia bersungguh-sungguh seikhlas hati
Agar anak menjadi insan yang hebat dan pandai berdikari

0 comments:

Catat Ulasan